Wednesday, October 15, 2008

tafsir al-quran 2

Semalan saya mendengar satu tazkirah dari seorang guru yang menceritakan mengenai tafsir al-quran. Guru tersebut menyatakan bahawa untuk selamat dalam memperkatakan al-quran elok kiranya kita memahami dahulu kaedah dan cara untuk memahami isi al-quran. Kerana memperkatakan al-quran tanpa ilmu yang sepatutnya akan menjadikan seseorang itu memperkatakan al-quran mengikut pendapatnya semata-mata. Orang yang memperkatakan tentang al-quran hanya berpandukan akal semata-mata dikuatiri akan terjerumus melakukan kesalahan yang besar yang akan mengundang dosa bagi yang menuturkannya.

Guru tersebut telah memberikan penerangan dengan lebih jelas bagaimanakah untuk seelamat dari perkara yang amat bahaya itu. Bahaya kerana orang yang memperkatakan al-quran tanpa ilmu maka ia akan menyediakan tempat duduknya dalam api neraka. Untuk selamat dari menempah tempat dalam api neraka maka seseorang itu hendaklah melihat kepada pentafsiran orang yang berkelayakan atau ahli tafsir yang diterima pakai.

Antara perkara yang disentuh oleh guru tersebut ialah mengenai tafsiran al-quran mentafsirkan al-quran atau lebih dikenali dengan tafsiran al-quran bil Maudhuie. Allah sendiri mentafsirkan kalam Allah yang maha tinggi. Menurut guru tersebut dalam banyak ayat al-quran Allah sendiri yang mentafsirkan kalam Allah agar manusia memahami dengan lebih jelas tentang sesuatu maksud yang dikehendaki oleh Allah. Contohnya dalam surah Al-Baqarah Allah berfirman “ Inilah Al-kitab yang tidak ada keraguan padanya , memberikan petunjuk kepada orang yang bertaqwa. Iaitu orang yang beriman dengan perkara yang ghaib, yang mendirikan solat , dan membelanjakan sebahagian dari pemberian Allah kepada mereka.” Mereka ini lah yang mendapat petunjuk daripada Allah dan merekalah yang beroleh kemenangan.”

Allah menerangkan kepada kita siapakah orang yang bertaqwa melalui ayat ini. Penerangan yang diberikan oleh Allah mengenai pengenalan diri orang bertaqwa adalah cukup jelas dan tepat. Kerana yang memberikan penjelasan itu adalah dari Allah sendiri. Kerana Taqwa adalah nilaian Allah terhadap diri manusia. Sebahagian sifat yang perlu dimiliki oleh orang yang bertaqwa ialah beriman kepada yang ghaib, mendirikan solat dan membelanjakan hartanya pada jalan yang diredhai oleh Allah. Inilah ciri taqwa yang perlu dimiliki oleh seseorang. Ciri ini juga merupakan suatu syarat yang diberikan oleh Allah untuk mereka yang inginkan pertunjuk dan beroleh kemenangan. Taqwalah yang menentukan kemenangan yang hakiki. Kita boleh melihat dalam banyak ayat yang lain mengenai cirri-ciri orang yang bertaqwa. Dalam surah ini dinyatakan sebahagian secara umum agar dapat dimengerti dari keumuman tersebut.....bersambung.

No comments: