Friday, June 5, 2009

Tidak mahu belajar Pendidikan Islam

Assalamualaikum..

Dalam pertemuan ini saya ingin berkongsi dengan saudara semua mengenai suatu peristiwa yang berlaku kepada saya semasa saya bekerja di Jabatan Pelajaran Negeri. Satu hari ada seorang ibu datang bertemu saya dengan membawa beberapa buah buku teks Pendidikan Islam dan Bahasa Arab. Ingatkan siibu tu nak mendapatkan maklumat mengenai buku teks kerana setahu saya ibu yang datang itu juga salah seorang dari pegawai yang berkhidmat di jabatan itu. Di dalam hati saya sekiranya siibu itu nak bertanya tentang buku teks , saya akan menunjukkan ibu tu kepada pihak yang bertanggungjawab mengenai buku teks.

Tetapi apa yang saya sangkakan tidak betul kerana siibu tu nak minta supaya anaknya yang sedang belajar di tahun satu sebuah sekolah berdekatan tidak mengambil mata pelajaran pendidikan Islam dan Bahasa Arab. Katanya , "anak saya tidak pandai jawi dan saya sendiri tidak tahu jawi dan al-quran." Selepas itu ibu tersebut menyambung bahawa suaminya juga tidak tahu jawi dan al-quran. setelah diselidiki rupa-rupanya siibu itu baru memeluk Islam. Almaklumlah muallaf . Saya terfikir takkan sudah Islam lebih tujuh tahun masih tidak tahu jawi dan al-quran ? Saya juga terfikir bagaimana dengan suaminya ? Adakah suaminya juga muallaf ? Setelah diselidiki rupa-rupanya suaminya adalah seorang melayu yang sejak kecil beragama Islam.
Sebagai seorang pegawai pendidikan Islam saya memberitahu perkara yang sebenar mengenai permintaan ibu tadi bahawa setiap murid Islam mesti belajar Pendidikan Islam. Saya juga menunjukkan kepada ibu tersebut pembahagian buku tilawah , ulum syariah dan bahasa arab . Saya meminta supaya ibu tersebut menghantar anaknya kepusat bimbingan tambahan untuk pelajaran pendidikan Islam.
Apabila peristiwa itu berlaku teringat saya semasa zaman sekolah dahulu . Apabila masuk tingkatan empat kami diberi pilihan untuk mengambil aliran sains atau sastera . Sesiapa yang mengambil aliran sains maka tidak perlu belajar agama islam tinggi dan bahasa Arab. Aliran sastera sahaja yang dimestikan belajar bahasa Arab dan Agama Islam Tinggi . Maka ramailah dari kalangan pelajar yang tidak berminat nak mengambil bahasa arab dan agama tinggi kerana memilih aliran sains. Nak masuk aliran sains pula kenalah murid yang cemerlang dalam SRP .
Saya sendiri memilih aliran sastera. almaklumlah keputusan tak berapa baik untuk memasuki aliran sains. Bila tanya kepada kawan di sekolah lain ada pelajar yang bukan Islam ( India & Cina ) memilih Agama Islam rendah sebagai mata pelajar dalam SPM . Bila keputusan keluar ada yang dapat A dalam Agama Islam Rendah. Wah hebat betul mereka ni . kerana ada pelajar Islam yang tak boleh skor macam mereka.
Imbasan kembali zaman sekolah dulu memang pelik jika dibandingkan dengan dengan pelajar hari ini. Dulu orang bukan Islam nak ambil mata pelajaran Islam dam boleh skor dalam pelajaran tersebut. Tetapi sekarang ni pelajar Islam tak mahu ambil pendidikan Islam dan ada yang hantar balik buku Pendidikan Islam. Kalau ini berlaku kepada masyarakat Islam hari ini . Apakah kita boleh mengharapkan pelajar lain akan mempelajari pelajaran Agama Islam ?
Semoga anak-anak kita tidaklah termasuk dari kalangan yang tidak berminat dengan Islam . Asuhlah diri dan mereka yang disekitar kita agar mencintai agama dan beramal dengannya..